Teori Membaca
Dalam kemahiran membaca terdapat beberapa teori
membaca yang digunakan bagi membantu pelajar dalam memahami proses pembacaan.
Teori membaca ini terbahagi kepada tiga teori iaitu :
- Teori memindahkan maklumat
- Teori membaca secara automatik
- Teori kecekapan verbal
Teori Memindahkan Maklumat
Teori memindahkan maklumat
diperkenalkan berdasarkan pandangan yang telah dikemukakan oleh La Berge dan
Samuel (1985) dan Gough (1985). Teori ini turut dipengaruhi oleh psikologi
kognitif dan bertanggungjawab dalam menyatakan aktiviti membaca ini merupakan
satu proses pemindahan maklumat daripada bahan bacaan kepada minda kita. Selain
itu, tokoh-tokoh ini juga turut memberi andaian bahawa aktiviti membaca adalah
proses dalam mengenal huruf demi huruf dan perkataan demi perkataan. Bagi
mereka, pembaca akan berinteraksi dengan teks bagi mendapatkan makna daripada
muka surat yang dibaca kepada pemikirannya atau mindanya. Dalam melakukan
interaksi ini, pembaca memerlukan satu kemahiran yang khusus bagi membolehkan proses pemindahan maklumat kepada pemikirannya. Dalam teori memindahkan
maklumat ini juga menyatakan bahawa aktiviti membaca dilakukan bertujuan untuk
membentuk peningkatan dalam kebolehan pembaca memindahkan maklumat daripada
teks yang telah dibaca. Pembaca yang baik akan lebih efisien ketika membuat
pemindahan maklumat, tetapi bagi pembaca yang lemah pula tidak akan mampu untuk
berbuat sedemikian.
Teori Membaca Secara
Automatik
Teori membaca secara automatik ini turut
diperkenalkan oleh La Berger dan Samuel (1974). Dalam teori ini menganggap
bahawa akan wujudnya perkembangan dalam penguasaan kemahiran membaca sekiranya
pembacaan dilakukan secara automatik. Teori membaca ini berbeza di antara
proses bersifat automatik dengan proses kawalan ketika membaca. Melalui latihan
membaca, pembaca akan mudah untuk mengenal huruf dan seterusnya dapat menguasai
setiap perkataan secara automatik. Di samping itu, teori membaca secara
automatik ini turut meramalkan akan wujud hubungan yang positif di antara
kemahiran pemahaman membaca teks secara automatik dengan latihan yang telah
dijalankan. Pembaca yang mempunyai lebih kemahiran membaca secara automatik
akan berupaya dalam mengawal teks serta mempunyai lebih sumber dan lebih
memahami teks yang dibaca. Ketika
membuat pembacaan teks, pembaca perlu memberi penekanan terhadap pengawalan
eksekutif agar mereka dapat memahami teks dengan lebih berkesan.
Teori Kecekapan Verbal
Teori kecekapan verbal ini telah
diperkenalkan oleh Perfetti (1985, 1988). Teori kecekapan verbal ini lebih
menekankan kepada kemahiran membaca dengan meluaskan proses pembacaan dengan
mentafsir kod bacaan. Selain daripada membuat bacaan secara automatik untuk
menguasai bahasa, aspek lain seperti penggunaan anafora dalam teks, membuat
cadangan atau kenyataan secara bersepadu, aktiviti yang berkaitan dengan
ingatan dan strategi meta kognitif yang digunakan. Berdasarkan teori verbal,
setiap pembaca akan mempunyai profil yang tersendiri bagi mengusai pembacaan
secara verbal. Dalam teori ini turut memberi penjelasan berkaitan pemahaman
terhadap bahan bacaan dan bagi pembaca yang tidak cekap akan lebih mudah lupa
akan perkara yang sudah dibacanya. Mereka yang tidak cekap dalam pembacaan ini
disebabkan oleh kekurangan pengetahuan terhadap teks yang dibaca dan keadaan
ini sekali gus akan menyebabkan mereka sukar untuk memahami apa yang dibaca.
No comments:
Post a Comment