MASALAH MEMBACA

Masalah Membaca
 

1.0 Faktor-faktor yang mempengaruhi masalah membaca terbahagi kepada dua iaitu faktor dalaman dan juga faktor luaran.

1.1 Faktor Dalaman

Perkara ini dikatakan berpunca dari dalam diri pembaca (murid) itu sendiri. Dalam faktor dalaman ini, pembaca mengalami masalah dari aspek kognitif atau inteleknya. Selain itu, masalah dalaman yang wujud dalam diri pelajar ini menyebabkan sebilangan daripada mereka mengalami masalah membaca iaitu dari aspek psikologi. Menurut Marohaini Yusoff (1999), Faktor dalaman yang mempengaruhi masalah pembacaan pembaca (murid) dalam aspek intelektual adalah seperti kecerdasan, kebolehan berbahasa, dan pengalaman yang sedia ada.

1.1.1Aspek kecerdasan

Kecerdasan dan kebolehan pelajar membaca dikatakan saling berkait rapat. Sekiranya pelajar yang mempunyai tahap kecerdasan minda yang tinggi, nescaya mereka mampu untuk memberi perhatian dan memahami sesuatu struktur ayat yang dibaca dengan lebih mudah tanpa perlu menggulang dan meneliti berulang kali berbanding dengan golongan pelajar yang mempunyai tahap kecerdasan rendah. Golongan pelajar yang mempunyai tahap kecerdasan rendah mengambil masa yang lebih lama untuk memahami sesuatu bahan yang dibaca. Menurut Roe, Stoodt dan Burn (1978), pertalian yang rapat antara kecerdasan dan kebolehan membaca ini lebih ketara dalam kalangan pelajar (pembaca) pada peringkat menengah daripada murid peringkat rendah.


1.1.2 Pengetahuan sedia ada yang terbatas

Pengetahuan sedia ada yang terbatas juga merupakan salah satu faktor dalaman pembaca (pelajar) yang mengalami masalah membaca. Pengalaman sedia ada ini diperolehi daripada kehidupan seharian pembaca. Kesemua pengalaman dan pengetahuan sedia ada ini diperolehi di rumah, didikan ibu bapa, sekolah, sosiobudaya dan sebagainya. Sekiranya seseorang pembaca itu hidup dalam suasana keluarga yang mempunyai tabiat membaca, nescaya pembaca tersebut akan terdorong untuk membaca walaupun secara tidak langsung. Kadang-kala terdapat juga sebilangan kecil pembaca yang hidup disuasana budaya membaca namun, kefahaman dan kemudahfahaman sesuatu yang dibaca ditahap yang rendah. Hal ini sememangnya tidak dinafikan, walaupun suasana persekitaran pelajar mengalakkan membaca tetapi tahap kemampuan kognitif pembaca tersebut ditahap yang rendah untuk menerima dan menilai sesuatu amalan tersebut khususnya membaca.

1.1.3 Kebolehberbahasaan

Pembaca yang tidak luas tahap pembacaan dan lemah dalam tatabahasa ditambah pula dengan kehidupan dalam masyarakat yang menggunakan bahasa dialek kedaerahan manambahkan lagi masalah kesukaran seseorang pembaca untuk membaca. Pembaca tersebut hanya memahami perkara yang dibaca untuk dirinya sahaja dan bukannya menyampaikan perkara yang dibaca kepada orang lain.

1.1.4 Minat dan motivasi


Faktor ini memainkan peranan yang amat besar bagi memupuk kebolehan membaca dalam kalangan pelajar. Minat dan motivasi amat diperlukan seseorang pelajar untuk menyemai minat membaca. Menurut Sylvia Ashton Warner (1973), satu kaedah untuk meningkatkan minat membaca dan memotivasikan pelajar membaca dengan menggunakan cerita-cerita yang dibuat oleh pelajar itu sendiri berdasarkan topik-topik yang diminatinya. Keadaan perasaan murid tentang diri mereka juga mempengatuhi pencapaian kebolehan membaca. Sebagai contohnya ialah Pelajar yang mempunyai konsep diri yang negatif, biasanya kurang keyakinan tentang kebolehan diri dan berperasaan rendah diri.Pelajar yang yakin kepada dirinya sendiri biasanya akan berjaya jika hendak dibandingkan dengan pelajar yang mempunyai konsep kendiri yang negatif.

1.2 Faktor luaran


Faktor luaran dalam masalah membaca merupakan faktor yang bukan berpunca dari dalam diri seseorang individu tetapi ianya merupakan faktor yang dapat kita lihat dan diketahui sebabnya seseorang itu mempunyai masalah dalam membaca. Terdapat beberapa faktor luaran yang menjadi punca masalah membaca.


1.2.1 Kebolehan melihat


Melihat merupakan sesuatu yang sangat penting dalam proses membaca kerana membaca memerlukan keupayaan untuk mengenal pasti kod atau lambang bercetak untuk difahami dalam bentuk maklumat.
Tanpa penglihatan yang baik, seseorang tidak mungkin dapat membaca dengan baik. Menurut Marohaini Yusoff (1999), proses membaca bermula dengan melihat dan mengecam perkataan atau lambang-lambang bahasa yang hendak dibaca. Jika penglihatan seseorang itu rosak maka akan berlakulah permasalahan dalam melakukan aktiviti membaca.



1.2.2 masalah pendengaran

Masalah pendengaran merupakan salah satu faktor fizikal yang menyumbang kepada masalah membaca. Pendengaran dapat mempengaruhi keberkesanan bacaan kerana ia mempunyai kaitan antara bacaan lisan dengan tulisan. Pembaca akan membaca dengan menyebut perkataan yang tercatat dan mentafsirkannya sebagai maklumat. Seseorang yang mempunyai masalah pendengaran tidak dapat membentuk bunyi yang betul melalui tulisan yang dibacanya. Hal ini membuatkan maklumat yang betul sukar disampaikan. Bagaimanapun, adakalanya maklumat dapat disampaikan dengan tepat sekiranya penulisan tersebut berbentuk ringan.

1.2.3 Suasana persekitaran

Suasana persekitaran semasa membaca memberi kesan sama ada proses membaca itu berjaya atau gagal. Marohaini Yusoff (1999) menyatakan terdapat beberapa perkara yang berkaitan dengan persekitaran rumah. Antaranya ialah sosiobudaya di rumah, kestabilan sosial, corak interaksi sesama isi rumah, dan sosioekonomi. Manakala Pearson dan Johnson (1978) mengatakan bahawa guru, rakan sebaya dan ekologi bilik darjah mempengaruhi bacaan dan kefahaman. Kegiatan guru dan rakan-rakan lain mempengaruhi pencapaian membaca murid. Guru bertindak sebagai pencetus kepada keinginan membaca, manakala rakan sebaya pula menjadi pemangkin kepada minat untuk terus membaca.

1.2.4 Bahan bacaan

Bahan bacaan juga dapat mempengaruhi bacaan pembaca melalui pelbagai aspek. Antara aspek tersebut ialah perbendaharaan kata yang terdapat dalam bahan bacaan, penggunaan ayat sama ada mudah atau abstrak, isi kandungan bacaan, serta penggunaan bahan grafik untuk menarik minat pembaca. Contoh masalah yang berpunca dari bahan bacaan ialah ketika seseorang membaca bahan ilmiah. Bahan ilmiah yang kompleks memerlukan penerangan yang lengkap selain sesuatu rujukan untuk memberi gambaran supaya pembaca mudah faham dengan apa yang dibaca. Aspek-aspek yang dinyatakan memainkan peranan penting dalam menjadikan bahan bacaan menarik dan mudah difahami. Dengan adanya daya tarikan serta tahap kemudahan bahan bacaan, seseorang yang membacanya lebih mudah tertarik untuk meneruskan bacaan selain memudahkan pemahaman melalui bacaan tersebut. Dengan adanya pemahaman tentang bahan bacaan, matlamat proses membaca akan berjalan dengan baik. Kefahaman tentang konsep membaca adalah perlu untuk memastikan seseorang itu tahu tentang matlamat proses pembacaan.



1 comment:

  1. Tahniah diucapkan kerana dah membuat blog ini sebagai perkongsian ilmu khususnya dalam keterampilan membaca.

    ReplyDelete