Belajar Membaca
Belajar membaca merupakan suatu permulaan bagi seorang kanak-kanak
sebelum memasuki alam persekolahan untuk menuntut ilmu. Peringkat awal
kanak-kanak biasanya didedahkan dengan kaedah Behavioristic. Kaedah
Behavioristic ialah kaedah bacaan yang bersifat menghafal. Mereka diajar
menghafal huruf A hingga Z. Hal ini penting supaya kanak-kanak mampu mengetahui
huruf serta membunyikannya dengan intonasi yang tepat. Kaedah atau cara yang
sesuai untuk mengajar kanak-kanak belajar membaca perlu dilakukan bagi
memastikan mereka tidak menghadapi kesukaran dalam kemahiran membaca pada
peringkat permulaan dan seterusnya tidak ketinggalan pada masa pembelajaran
nanti.
Kaedah
Fonetik
Antara kaedah yang boleh dilakukan ialah melalui kaedah fonetik. Kaedah
ini ialah membaca dengan memperkenalkan bunyi secara sistematik dan amat sesuai
diajarkan kepada kanak-kanak. Kaedah ini juga telah dibuktikan secara saintifik
sebagai kaedah otak manusia membaca. Otak manusia membaca dengan membunyikan
huruf-hruf yang dilihat kepada bunyi-bunyi lalu otak membunyikan huruf-huruf
yang dilihat bagi menyebut atau membunyikan huruf tersebut. Langkah utama
kaedah ini ialah kanak-kanak perlu tahu bunyi huruf dari segi bentuk, rupa dan
cara tulis huruf tersebut, dan seterusnya mereka dapat mengaitkan huruf yang
dilihat dengan bunyi yang berkaitan. Kaedah ini dapat membantu kanak-kanak
menyebut perkataan dengan betul.
Kaedah
Abjad
Selain itu, Kaedah Abjad juga boleh digunakan mengajar kanak-kanak
membaca. Kaedah ini juga dikenali sebagai kedah huruf dan merupakan keadah yang
tertua pernah dilakukan semenjak Kerajaan Greek dan Rom. Kamaruddun Hj. Hussin
(1998:257) menyatakan bahawa kaedah ini memperkenalkan nama-nama huruf dan
bunyi-bunyi huruf. Belajar kaedah ini sebenarnya tertumpu kepada penghafalan
abjad, pembentukan suku kata, dan aktiviti mengeja. Menghafal abjad dalam
konteks ini bertujuan untuk memudahkan proses pembentukan dan pengejaan murid
pada peringkat seterusnya
Kaedah
Pandang Sebut
Kaedah Pandang Sebut juga merupakan salah cara belajar membaca yang
berkesan. Kaedah ini digunakan oleh guru dalam mengajar murid untuk membaca dengan cara murid tersebut melihat dan menyebut sesutu bahan bacaan.
Menurut Azwan Wan Chik (1993:184), kaedah ini dijadikan asas untuk mengajar
murid-murid dalam membaca kerana wadah ini memperkenalkan perkataan kepada
murid dan bukannya huruf atau suku kata.
Kaedah
SQ3R
Kaedah SQ3R turut digunakan dalam belajar membaca. Hal ini penting untuk
memastikan bahan bacaan yang dibaca sentiasa diingati. Kaedah ini telah
diperkenalkan oleh Francis P.Robinson pada tahun 1941 dan kini menjadi antara
kaedah membaca yang popular. Terdapat lima langkah dalam kaedah ini, antaranya
ialah Survey, Question, Read, Recite, dan Review. Sebelum membaca, pembaca
perlu teliti mengenai survey bacaan untuk mendapatkan gagasan umum tentang apa
yang akan di baca nanti. Pada peringkat ini, pembacaan dilakukan dalam
beberapa minit tetapi secara sistematik dan mencari idea-idea penting.
Pembacaan peringkat survey boleh dilakukan dengan memerhatikan tajuk buku, nama
penulis, dan tahun penerbitannya bagi memudahkan pembacaan seterusnya.
Peringkat kedua ialah Question, iaitu persoalan demi persoalan mengenai
perkara yang ingin dicari akan timbul semasa pembaca berada di peringkat survey
malah akan menimbulkan persoalan yang lebih mendalam. Hal ini menyebabkan
pembaca akan membaca dengan lebih aktif dan lebih mudah memahami bahan bacaan
tersebut (Adenan Ayob & Abdullah Yusof, 2010)
Peringkat yang seterusnya ialah Read, iaitu pembacaan yang dilakukan
secara kritis dan mengikuti urutan-urutannya. Pada peringkat ini pembaca
disarankan untuk mencari jawapan bagi persoalan-persoalan yang timbul dalam
bahan bacaan tersebut. Peringkat keempat ialah Recite iaitu pembaca perlu
membuat catatan dan sekiranya pembacaan tersebut masih tidak jelas, pembaca
tersebut perlu membaca semula bacaan tersebut. Peringkat terakhir ialah Review,
iaitu pembaca disarankan untuk mengulangi pembacaan terhadap topik-topik atau
idea-idea penting untuk memastikan pembacaan tersebut diingati. Menurut Adenan
Ayob & Abdullah Yusof (2010) pada tahap ini, proses pembacaan akan menjadi
lebih baik dan lebih memahami bahan bacaan tersebut.
Kesimpulannya, kaedah belajar membaca diatas perlu dilaksanakan dengan
teratur supaya tidak wujud masalah semasa pengajaran bermula. Kaedah belajar
membaca bagi murid yang lebih dewasa berbeza dengan murid pada tahap awal
pembelajaran. Oleh itu, guru perlu memilih kaedah yang sesuai dengan keperluan
murid mereka.
No comments:
Post a Comment