PENDEKATAN DALAM MENGAJAR MEMBACA

Pendekatan Binaan

Pendekatan binaan juga dikenali sebagai pendekatan sintesis iaitu pengajaran bacaan bagi pendekatan ini dimulakan dengan memperkenalkan unsur-unsur yang terkecil terlebih dahulu kemudian diikuti dengan unsur yang lebih besar. Dalam pendekatan ini, murid-murid akan diperkenalkan dengan huruf-huruf terlebih dahulu kemudian diikuti dengan suku kata, perkataan, rangkai kata, ayat dan cerita.

Contoh, untuk mengajar perkataan ‘makan’, murid-murid perlu diperkenalkan dahulu dengan huruf-huruf ‘m’, ‘a’, ‘k’, ’a’ dan ‘n’ dan daripadanya dibentuk suku kata ‘ma’ dan ‘kan’, kemudian digabungkan menjadi ‘makan’. Perkataan ini akan digalurkan dengan perkataan lain yang telah diketahui oleh pelajar untuk membentuk rangkai kata, ayat dan seterusnya cerita. Kaedah yang sesuai dengan pendekatan ini ialah kaedah abjad.


Pendekatan Cerakinan

Pendekatan cerakinan ini dikenali sebagai pendekatan analisis iaitu pendekatan pengajaran ini mendahulukan unsur yang besar, kemudian unsur itu dicerakinkan kepada unsur-unsur yang kecil yang membentuk struktur yang besar tersebut. Melalui pendekatan ini, pengajaran bacaan ini dimulakan dengan memperkenalkan ayat kepada murid – murid kemudian ayat itu dicerakinkan kepada perkataan-perkataan, daripada perkataan dipecahkan kepada suku kata seterusnya huruf-huruf. 
 
Contoh ayat seperti ‘saya sayang ibu’. Dalam ayat ini, perkataan-perkataan ialah ‘saya’ , ‘sayang’, ‘ibu’, manakala suku kata terdiri daripada ‘sa + ya’ , ‘sa + yang’ , ‘i + bu’ , dan huruf-huruf ialah ‘s’, ‘a’, ‘y’, ‘a’, ‘s’, ‘a’, ‘y’, ‘a’, ‘n’. ‘g’, ‘i’, ‘b’, ‘u’. Kaedah yang sesuai dengan pendekatan ini ialah kaedah pandang dan sebut yang di dalamnya terangkum kaedah seluruh perkataan, kaedah rangkai kata, kaedah ayat dan kaedah cerita.


Pendekatan Elektik

Pendekatan elektik juga dikenali sebagai pendekatan campuran. Pendekatan elektik ini menggabungkan kedua-dua pendekatan iaitu pendekatan binaan dan juga pendekatan cerakinan. Pendekatan ini mengambil ciri-ciri yang terbaik daripada kedua-duanya, disesuaikan dengan keadaan murid-murid, situasi bilik darjah, bahan pengajaran dan sebagainya. Pendekatan ini mestilah dijalankan secara sistematik dan dirancangkan dengan sebaik-baiknya. Ia juga mestilah mempertimbangkan dengan semasak-masaknya akan sifat-sifat dan ejaan bahasa Melayu yang fonemik, struktur suku kata, tatabahasa, sistem sebutan dan sebagainya agar perjalanan pengajaran dapat meninggalkan kesan yang sebaik-baiknya kepada para pelajar.

Pendekatan Pengalaman Bahasa 
Pendekatan ini biasanya digunakan kepada pelajar-pelajar yang mempunyai perbezaan linguistik. Menurut Lewis (1991) dengan menggunakan bahasa lisan pelajar dapat mencerminkan penguasaan sintaksis dan struktur ayat. Penggunaan perbendaharaan kata menggunakan bahan bacaan berdasarkan bahasa dan pengalaman pelajar. Perkataan itu mencerminkan kandungan teks bagi memudahkan pelajar membina makna. Pelajar mempunyai pengalaman bahasa mudah menguasai teks. Ia menjadi pendorong kepada pembaca peringkat awal dan melahirkan sikap positif dalam membaca. Keupayaan bahasa pelajar penting bagi menggunakan pndekatan ini. Pendekatan ini dapat disepadukan dengan pendekatan lain. Guru boleh memulakan pengajaran membaca dengan pendekatan ini sebelum memperkenalkan pendekatan berasakan kesusasteraan. Pendekatan ini melibatkan aktiviti belajar termasuk hubungan antara pemikiran, pertuturan, penulisan, dan membaca.




   




No comments:

Post a Comment